fbpx
Tangkap layar video yang memaparkan penghantar makanan tersebut.

[VIDEO] ‘Saya tidur ‘bus stop’ semata untuk tahu kes Zara Qairina’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sokongan yang tidak berbelah-bahagi ditunjukkan rakyat Sabah terhadap kes Allahyarhamah Zara Qairina terus mengundang rasa sebak dan kagum dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi video dimuat naik di TikTok Sabah Info, kelihatan beberapa penghantar makanan sanggup tidur di stesen bas Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu semata-mata untuk mengikuti perkembangan kes tersebut, semalam.

Selain itu, mereka juga dilihat turut menampal satu keping kertas yang dicetak mengandungi muka Allahyarhamah Zara beserta tulisan #Justice4Zara di beg penghantar makanan masing-masing.

“Saya tidur di ‘bus stop’ (stesen bas) belakang semata-mata untuk tahu ini kes. Anak saya lebih kurang sebaya dengan Allahyarhamah. Beza pun satu tahun je, anak perempuan juga.

“Ingat mahu bagi masuk asrama tapi sudah jadi macam ini macam trauma pula saya,” kata salah seorang penghantar makanan.

Pada Sabtu lalu, kubur Allahyarhamah Zara Qairina di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi, Mesapol, Sipitang, Sabah, digali semula kira-kira pukul 4 petang bagi tujuan bedah siasat semula.

Kemudian, jenazah Allahyarhamah dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, kira-kira 9.30 malam sebelum dikebumikan semula pada malam tadi.

Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan berkata, tindakannya itu yang sanggup berpanasan menunggu di luar hospital bagi menantikan proses bedah siasat selesai adalah atas dasar perikemanusiaan.

“Kedua kami pun sudah berkahwin. Ada anak bersekolah, jadi kenapa tidak kami bersuara untuk benda ni (kes Zara).

“Dahulu memang tak ambil kisah tentang kes sebegini, tapi apa perasaan kita kalau kita berada di tempat dia,” kata pemuda tersebut.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen ramai mendoakan kesemua penghantar makanan tersebut diberikan ganjaran luar biasa atas tindakan mereka itu.

“Memang ‘salute’ orang Sabah. Luar biasa sokongannya. Semoga dua abang ni diberikan ganjaran pahala luar biasa,” komen Shahira.

“Terima kasih abang ‘rider’. Semoga dipermudahkan urusan kamu dalam mencari rezeki dan sama-sama dalam berhimpun menegakkan keadilan untuk arwah Zara,” komen Puan Zue.

“Semoga murah rezeki mu abang ‘rider’. Kita semua mahu keadilan untuk adik Zara,” komen Ain.

Allahyarhamah Zara Qairina, 13 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE

@sabah_info‘Anak kami sebaya dengan arwah’ – Solidariti yang ditunjukkan abang Foodpanda, Fazil dan Reney 🫡

♬ bunyi asal – Sabah Info

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI