PETALING JAYA – Tindakan pantas pihak media menyiarkan isu dua selebriti yang gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan mereka memberi kesedaran kepada individu terbabit untuk segera melunaskan tanggungjawab tersebut.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, semakan pihaknya hari ini mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan telah pun diperbaharui cukai jalan dan insuransnya.
“Saya berpandangan peranan media yang memviralkan isu ini memberi kesedaran kepada kedua-dua selebriti tersebut untuk bertanggungjawab memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan mereka. Terima kasih kepada media yang menguar-uarkan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sebuah kenderaan milik selebriti berkenaan tidak diperbaharui cukai jalannya selama setahun, manakala sebuah lagi hampir dua tahun.
Mengulas kemungkinan ada pemilik kenderaan yang cuba mengelak tindakan undang-undang dengan menggunakan logo tertentu atau helah lain, Muhammad Kifli menegaskan JPJ tidak akan berkompromi.
“Selagi rekod kami menunjukkan mereka gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” tegasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan JPJ mengenal pasti beberapa individu terkenal yang gagal memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka sepanjang tiga siri Ops Luxury 3.0 yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.
Hasil risikan terbaru mendapati dua selebriti tanah air turut tersenarai termasuk pempengaruh dan ahli perniagaan. – KOSMO! ONLINE