PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai menzahirkan rasa syukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tentang bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang akan bermula esok.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati penerima khususnya mereka yang berkeluarga melahirkan rasa syukur kerana bantuan tersebut disalurkan pada ‘tengah bulan’.
Ada di antara mereka berkata, bantuan yang diterima akan diguna bagi membeli kelengkapan anak seperti susu dan lampin pakai buang serta makanan asas sekeluarga.
“Syukur… suami masuk RM200 termasuk MyKasih, saya masuk RM100. Alhamdulillah lega dapat lepas beli keperluan kami lima beranak,” komen Teja Hashim.
“Baru tadi tanya suami esok nak makan apa sebab beras pun tinggal ngam-ngam, lauk pun ada telur. Memang berita melegakan hati kami, terima kasih,” komen Nurshila Anuar.
“Tengah-tengah bulan dia (STR) masuk…lega tak tahu nak cakap. Terima kasih Perdana Menteri,” komen Hashim.
Lebih 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai esok melibatkan peruntukan berjumlah RM2 bilion sebagai langkah meringankan kos sara hidup isu rumah berpendapatan rendah.
Anwar berkata, setiap individu berkelayakan akan menerima bayaran sehingga RM650 dengan peningkatan penerima seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima bagi Fasa 1 pada Januari lalu.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. -KOSMO! ONLINE