fbpx
DZAFIR (kanan) bersama anak guamnya, Mohamad Zaini Md. Taha (tengah) dan Nur Bazilah Ahmad selepas selesai prosiding kes di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Melaka.

Syarikat, dua pengarah bebas tuduhan simpan 5,300kg gula pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan Syarikat Helang Gagah Group Sdn. Bhd. dan dua pengarahnya atas pertuduhan memiliki dan mengawal barang kawalan iaitu gula pasir sebanyak 5,300 kilogram (kg) tanpa lesen, empat tahun lalu.

Peguam perayu, Dzafir Firdaus Ahmad Zubairy berkata, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membebaskan Datuk Mohamad Zaini Md. Taha, 47, dan isterinya, Datin Nur Bazilah Ahmad, 39, serta Syarikat Helang Gagah Group selepas membenarkan rayuan anak guamnya untuk mengetepikan penghakiman Mahkamah Sesyen pada 2024.

“Hakim berpandangan terdapat elemen kesalahan yang gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen. Oleh itu, penghakiman Mahkamah Sesyen adalah tidak selamat untuk dikekalkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 9 Ogos tahun lalu, Syarikat Helang Gagah Group dan dua pengarahnya didenda RM1.1 juta oleh Mahkamah Sesyen selepas disabitkan bersalah kerana memiliki dan mengawal barang kawalan iaitu gula sebanyak 5,300 kg tanpa lesen.

Hakim Darmafikri Abu Adam mendenda Mohamad Zaini dan Nur Bazilah masing-masing sebanyak RM200,000 atau penjara 12 bulan jika gagal bayar manakala syarikat berkenaan didenda RM700,000. Pasangan itu kemudian memfailkan rayuan pada November 2024.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Hafizi Abdul Halim mewakili responden.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Zaini bersama isteri dan syarikat didakwa mempunyai kawalan dan milikan ke atas barang berjadual jenis gula pasir kasar jenama Citra sebanyak 5,300 kg dalam keadaan menimbulkan syak untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di premis syarikat di Jalan MHH F2/3, Kilang Teres Melaka Halal Hub Fasa 2, Serkam Darat dalam daerah Jasin pada 26 Oktober 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI