KUALA TERENGGANU – Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Terengganu berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur menggantikan Datuk Wan Rukman Wan Hassan yang bersara wajib pada 30 Jun lalu.
“Ramai mengatakan kepulangan saya ke IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Terengganu bagai sirih pulang ke gangang, tetapi ini amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul.
“Saya memerlukan sokongan semua warga polis untuk bergerak sebagai satu pasukan untuk menyokong kepimpinan Ketua Polis Terengganu (Datuk Mohd. Khairi Khairudin),” katanya pada majlis serah tugas Ketua Polis Terengganu di IPK Terengganu di sini hari ini.
Majlis serah tugas antara Suffian dan Asisten Komisioner Arsad Kamaruddin yang memangku jawatan tersebut sebelum ini.
Suffian berharap dapat membantu IPK Terengganu untuk terus menurunkan kadar indeks jenayah dan kecekapan sistem penyampaian kepada rakyat.
Sementara itu, Mohd. Khairi menaruh harapan tinggi terhadap Suffian untuk memantapkan lagi pengurusan IPK Terengganu.
Beliau berkata, Suffian bukan asing buat warga polis dan penduduk Terengganu kerana pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri sebelum ini. – KOSMO! ONLINE