BALING – Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Kupang, Kampung Rambong, di sini semalam disahkan meninggal dunia tengah hari tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md. Ali berkata, mangsa terbaharu itu merupakan penumpang hadapan kereta Perodua Viva dinaiki tiga wanita yang juga rakan.
“Mangsa meninggal dunia pada pukul 1.30 tengah hari ketika dirawat di Wad Kecemasan, Hospital Baling. Ini menjadikan jumlah mangsa maut setakat ini dua orang.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya hari ini.
Siasatan mendapati kereta dipandu wanita berusia 51 tahun bersama dua rakan berusia 37 dan 61 tahun itu menghala ke Rambong. Sebuah lagi kereta dipandu lelaki berusia 27 tahun dari arah Kampung Teluk Durian menghala ke Baling.
Akibat nahas itu, pemandu kereta Perodua Viva cedera parah dan disahkan maut di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE