KUALA LUMPUR – Sektor kecerdasan buatan (AI) berjaya menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM3.29 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang berpotensi mewujudkan sebanyak 6,920 peluang pekerjaan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ia antara pencapaian Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bagi separuh tahun pertama 2025 di bawah inisiatif strategik Malaysia Digital (MD).
Menurut beliau, NAIO juga sedang merangka Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 yang berteraskan bakat, data dan infrastruktur dalam usaha membina ekosistem AI yang mampan.
Tambah beliau, Draf Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI juga sedang dimuktamadkan bagi menyokong pelaksanaan pelan tindakan tersebut.
“Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap AI serantau, NAIO dengan kerjasama MyDigital akan menyelaras penganjuran Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 pada 12 hingga 13 Ogos 2025
“Sidang kemuncak ini akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kepimpinan dan kerjasama serantau dalam bidang AI. Kajian Impak AI ke atas sektor awam yang melibatkan 28 kementerian juga sedang dilaksanakan dan berada di fasa akhir,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubungo kemajuan dicapai NAIO dan sumbangannya kepada Pembangunan AI.
Sementara itu, Gobind berkata, sumbangan AI dan teknologi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 adalah 23.5 peratus dan kerajaan menyasarkan peningkatannya kepada 25.5 peratus menjelang akhir 2025.
Katanya, beliau yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan perkembangan positif dalam pelaburan, pembangunan bakat serta pelaksanaan pelbagai kes penggunaan AI merentasi sektor.
Tambah beliau, NAIO juga memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai kementerian bagi memacu penggunaan AI merentas sektor dan sebanyak 55 kes penggunaan sudah dikenal pasti.
Kata beliau, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk dalam sektor pengangkutan, kesihatan, pertanian, sumber manusia serta sektor awam.
“Kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi pembangunan sistem ramalan trafik menggunakan analitik data besar untuk mengurangkan kesesakan serta pengurusan pelabuhan pintar bagi mengoptimumkan pergerakan kontena.
“Projek AI bersama Kementerian Kesihatan untuk penggunaan AI dalam bidang radiologi serta dalam pengurusan sumber hospital awam
bagi meningkatkan keberkesanan operasi hospital secara keseluruhan.
“Kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi platform pertanian pintar untuk ramalan bekalan dan permintaan serta sistem untuk mengenal pasti serangan serangga perosak,” katanya.
Ujar beliau, dalam aspek pembangunan bakat, NAIO bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan TalentCorp menerusi Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri.
Jelas beliau, inisiatif itu bertujuan merapatkan jurang kemahiran dan memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja negara dalam era AI. – KOSMO! ONLINE