SHAH ALAM – Juara sulung program realiti, Raise The Star Malaysia, Didie Shazry memilih untuk menghadiahkan separuh daripada ganjaran RM30,000 kepada kakak sulungnya, Asniza Norsita sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan insan istimewa dalam hidupnya itu.
Bagi Didie, 23, darah dagingnya yang kini berusia 33 tahun itu bukan sekadar seorang kakak, malah individu yang sanggup mengorbankan masa remaja demi membesarkan adik-beradik selepas perceraian ibu bapa mereka.
“Separuh daripada wang kemenangan saya akan beri kepada kakak saya dan selebihnya saya akan menggunakan untuk berkarya.
“Saya berasakan kakak memang selayaknya mendapatkan wang kemenangan ini. Ceritanya dulu sewaktu umur sembilan tahun, ibu bapa saya bercerai. Masing-masing bawa haluan sendiri.
“Kakak baru berusia 16 tahun sanggup berhenti sekolah sebagai pengorbanan supaya adik-adik yang lain dapat bersekolah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu turut mendedahkan bahawa hadiah tersebut akan diberikan sebagai kejutan tanpa pengetahuan kakaknya.
“Saya tidak memberitahu dia mahu membahagikan wang kemenangan bersama. Ini merupakan satu kejutan buat kakak.
“Memang sudah berniat mahu berkongsi wang kemenangan ini. Dia memang layak mendapatkan apa yang saya terima ini (hadiah wang tunai).
“Pada malam ini (Ahad), kakak hadir melihat saya di pentas akhir. Di minggu separuh akhir pun dia sanggup datang dari Sabah untuk lihat saya membuat persembahan,” ujarnya lagi.
Menurut Didie, kakak sulungnya itu juga sanggup berhenti sekolah ketika di tingkatan empat bagi memberi keutamaan kepada persekolahan adik-adik lain kerana keadaan keluarga yang tidak berkemampuan.
Dia juga meneceritakan pernah dibesarkan keluarga angkat yang banyak mengajarnya tentang dunia muzik sehingga berjaya dalam bidang seni.
“Saya tinggal dengan kakak sejak usia sembilan tahun hingga 12 tahun. Selepas itu saya diambil sebagai anak angkat oleh arwah abah angkat saya dan dialah yang banyak mengajar saya tentang muzik.
“Saya hidup dengan keluarga angkat sampai tingkatan empat kerana bapa angkat meninggal dunia dan kemudiannya tinggal semula dengan kakak sehinggalah berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak,” katanya.
Semalam, Didie diumumkan sebagai juara Raise The Star Malaysia (RTSM) musim pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 bersama sebuah trofi. – KOSMO! ONLINE