PUTRAJAYA – Sebanyak 28,300 karton rokok tidak bercukai kastam bernilai RM13.45 juta berjaya dirampas di Plaza Tol MEX, di sini pada 3 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ia susulan penahanan dua lelaki berusia 35 dan 38 tahun yang menaiki lori bonded jenis Hino.
Pemeriksaan ke atas kenderaan berat itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok disyaki tidak bercukai kastam.
“Kita merampas sebanyak 566 master case (satu master case mempunyai 50 karton rokok) tidak sah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain rokok, pihak berkuasa merampas lori, anak kunci, dua buah telefon bimbit dan empat dokumen pesanan penghantaran.
Semakan mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod kes jenayah dan dadah. Mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pada 7 Ogos lalu dan sebutan semula kes ditetapkan 9 September ini. – KOSMO! ONLINE