PETALING JAYA – Seramai 39 indivdu yang cemerlang dalam bidang masing-masing telah mendapat pengiktirafan sebagai pakar industri (IS) daripada Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM).
Presiden MPPM, Prof. Madya Zam@Ab Razak Zamri berkata, kesemua IS yang menerima anugerah terbabit terdiri daripada mereka yang pakar dalam 19 bidang utama termasuk kesenian, keusahawanan dan inovasi.
Jelasnya, pada tahun lalu seramai 28 orang telah menarima pengiktirafan tersebut.
“Sebagai badan yang berperanan dalam memperkasakan perniagaan dan usahawan Malaysia, inisiatif ini penting bagi menonjolkan usahawan dan profesional tempatan supaya mendapat lebih perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kajian MPPM dan rakan-rakan strategik juga menunjukkan bahawa negara maju seperti United Kingdom, Korea Selatan dan Jerman sudah lama menginstitusikan sistem pengiktirafan industri seumpama ini.
“Jadi Malaysia tidak boleh terus ketinggalan dalam memastikan bahawa pemain industri kita diiktiraf setaraf dengan pentas global. Pengiktirafan ini juga bukti betapa seriusnya MPPM dalam melahirkan ramai pakar industri berkualiti,” katanya pada majlis penganugerahan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zam berkata, proses pencalonan bagi setiap pakar industri dipilih berdasarkan profil mereka melalui penilaian teliti dari segi kredibiliti, integriti, dan profesionalisme oleh Jawatankuasa Penilaian Pakar Industri MPPM.
“Penganugerahan ini adalah simbol pengiktirafan terhadap dedikasi mereka yang tidak mengenal lelah, serta usaha mereka untuk mewujudkan perubahan yang positif dalam industri,” katanya.-KOSMO! ONLINE