fbpx
THANABALAN diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan melakukan rompakan ke atas bekas kekasihnya. Foto ARIF HAMIZAN MISKON/ KOSMO!

Pengait sawit didakwa rompak, cederakan bekas kekasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pengait sawit berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan bekas kekasihnya, awal bulan ini.

Tertuduh, R. Thanabalan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada bekas kekasihnya, S. Bavani, 27, kira-kira pukul 10.30 pagi di hentian rehat pintu gerbang Ayer Keroh pada 2 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun berkali-kali merayu dan meminta ihsan mahkamah agar dia dibebaskan tanpa wang jaminan dengan alasan hanya bekerja sebagai pengait sawit, manakala ibunya merupakan orang kurang upaya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 8 September depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI