fbpx
Mysaiah (dua dari kanan) ditahan semasa menaiki bas ekspres di Stesen Penguatkuasa JPJ Mentara Gua Musang awal pagi tadi. FOTO AIMUNI TUAN LAH/ KOSMO!

PATI India ditahan, tak sempat jadi tukang kebun di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Hasrat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga India merantau untuk bekerja sebagai tukang kebun di Sungai Buloh, Selangor tidak kesampaian apabila dia ditahan pihak imigresen ketika menaiki bas ekspres di sini pagi tadi.

Lelaki berusia 56 tahun dari Hyderabad, India itu memberitahu, dia memasuki Kelantan melalui pangkalan haram di Sungai Golok yang bersempadan dengan Thailand.

Katanya, dia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah mendakwa menempuh perjalanan sejauh lebih 5,000 kilometer (km) untuk sampai ke negara ini.

“Pertama kali saya datang ke negara ini selepas dijanjikan peluang pekerjaan sebagai tukang kebun di Sungai Buloh.

“Saya tidak sangka ditahan ketika menaiki bas ekspres, jadi tidak sempat bekerja di negara ini,” katanya yang ditahan dalam Op Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Kelantan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Stesen Penguatkuasa JPJ Mentara Gua Musang.

Sementara itu, seorang lagi PATI dikenali sebagai Nato Rashidi, 58, dari Medan, Indonesia memaklumkan, dia tidak sempat pulang ke negaranya apabila ditahan pihak berkuasa semasa menaiki bas ekspres.

Lelaki asing itu ditahan apabila pihak berkuasa mendapati pasportnya tamat tempoh sejak lima tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI