JASIN – Seorang lelaki warga emas yang juga peniaga kerepek direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Sabtu lalu.
Perintah reman sehingga 17 Ogos itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Jasin, Mazana Sinin terhadap suspek yang berusia 63 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak polis mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas perbuatan suspek disedari oleh bapa saudara mangsa yang terlihat kanak-kanak itu dicium warga emas terbabit di kawasan rumahnya di Kesang Tua kira-kira pukul 12 tengah hari, 9 Ogos lalu.
“Saksi kemudian segera memanggil nenek mangsa berusia 56 tahun dan wanita tersebut yang bergegas keluar turut sempat melihat perbuatan suspek.
“Suspek kemudian terus beredar menuju ke arah sebuah kereta jenis Honda Jazz dan nenek mangsa telah mengejarnya sebelum pemandu wanita di dalam kenderaan itu meminta maaf atas perbuatan lelaki tersebut serta mendakwa warga emas terbabit adalah pekerja ibunya,” katanya.
Mengulas lanjut, saksi turut memberitahu sebelum mencium mangsa, suspek juga ada melakukan perbuatan tidak senonoh selepas cuba memujuk kanak-kanak tersebut menggunakan gula-gula.
“Nenek mangsa telah membuat laporan polis dan sepasukan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bertindak menahan suspek.
“Permohonan reman telah dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan dilakukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE