PETALING JAYA – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pulau Banggi, Kudat, Sabah kini menjadi pemacu pembangunan sosioekonomi, dan memperkukuh agenda pendigitalan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif tersebut seiring komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk meningkatkan ketercapaian digital luar bandar.
Beliau berkata, pada bulan lalu, Inisiatif NADI di Pulau Banggi juga dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva memberikan pengiktirafan dunia buat negara.
“Teknologi Starlink di NADI Pulau Banggi menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi, dengan kelajuan minimum mencecah 100 Mbps
“NADI ini juga dilengkapi ruang latihan serta perkhidmatan rujukan maklumat yang menyokong pembangunan ekonomi, pendidikan, dan keusahawanan digital,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan beliau bersama-sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin telah melawat NADI semalam.
“Kami juga singgah di Pos Trup Pengawasan Kg Dogoton untuk bertemu wira-wira keselamatan.
“Terima kasih kerana teguh berdiri mempertahankan kedaulatan negara serta menjadi inspirasi keberanian buat seluruh rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE