KUALA LUMPUR – Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) Edisi Kedua telah selesai ditambah baik dan akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Ogos tahun depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, MQF 2.0 merupakan kerangka bersepadu merangkumi semua kelayakan daripada sektor akademik hingga sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, penambahbaikan itu memberi penekanan kepada hasil pembelajaran, sistem kredit yang lebih jelas serta integrasi nilai kelestarian dan kompetensi negara bagi melahirkan graduan holistik dan bertanggungjawab.
“Ini adalah langkah proaktif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam memastikan piawaian kita sentiasa di hadapan dan relevan dengan keperluan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah MQA di sini, malam ini.
Zambry berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kementeriannya untuk memastikan sektor pendidikan tinggi kekal relevan.
“(Ini termasuk mampu) berdaya saing dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE