KUALA LUMPUR – Pasukan dari Kazakhstan, XDS Astana bakal mempertaruhkan dua pakar pecut pada Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) yang akan membuka tirai bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.
Pasukan berstatus WorldTeam itu turut menyenaraikan pemenang tiga peringkat LTdL24 dan jersi merah Raja Pecut, Matteo Malucelli serta pakar pecut dengan koleksi empat kemenangan, Gleb Syritsa.
Strategi meletakkan pakar pecut berganda itu mencerminkan strategi Astana untuk menguasai enam peringkat yang dianggap landai dan memberi kelebihan dalam laluan LTdL25 kali ini.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdl25, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya tidak terkejut dengan strategi pasukan itu, lebih-lebih lagi dengan adanya enam peringkat yang dianggap memberi kelebihan kepada pasukan yang mempunyai pakar pecut.
“Kami jangka bakal berakhir dengan pecutan beramai-ramai di garisan penamat. Pasukan yang memiliki beberapa pakar pecut pasti mahu mengumpul kemenangan dan dengan kehadiran Malucelli dan Syritsa, Astana tampak ada sedikit kelebihan.
“Ia mungkin strategi pasukan itu mengimbangi kehadiran pakar pecut pasukan lain seperti pelumba Tudor Cycling, Alberto Dainese dan Fabio Jakobsen (Picnic PostNL) yang memiliki reputasi hebat dengan kemenangan Giro d’Italia dan Vuelta a Espana,” kata Emir.
Empat pelumba lain dalam senarai awal Astana ialah Aaron Gate, Anton Kuzmin, Nicolas Vinokurov dan Lev Gonov.
Gate, 35, berasal dari New Zealand adalah pemenang empat pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan diramal menjadi taruhan memburu jersi hijau individu keseluruhan pada saingan LTdL25.
Kuzmin, 29, dan Gonov, 25, dijangka memikul peranan membentuk penggempur Astana di bahagian peloton pada beberapa kilometer terakhir, sebelum membuka ruang untuk Malucelli atau Syritsa dalam pecutan terakhir.
Nicolas, 23, bakal menjadi pembantu dalam setiap strategi harian Astana dan berkemungkinan diarah untuk mengikuti setiap cubaan break away oleh kelompok kecil pelumba. – KOSMO! ONLINE