PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City), Risto Vidakovic teruja dapat menamatkan badi 30 tahun untuk menang aksi pembukaan Liga Super selepas menewaskan Imigresen FC 3-0 di Stadium Negeri, Batu Kawan kelmarin.
Pada perlawanan itu, skuad Warga Kota meraih gol hasil penyudah Manuel Hidalgo, Safawi Rasid dan jaringan sendiri Rizal Ghazali sekali gus memulakan kempen liga dengan mata penuh buat kali pertama sejak tahun edisi 1995.
Menurut Vidakovic, kesungguhan serta keyakinan tinggi barisan pemain membuahkan hasil apabila berjaya mendominasi penuh perlawanan di tempat lawan itu.
“Saya teruja dengan keputusan ini kerana ia sangat penting buat kami. Selepas lebih sebulan mengharungi pramusim dengan kehadiran ramai pemain baharu, ia bukan tugas yang mudah.
“Saya rasa KL City tidak pernah menang dalam perlawanan pembukaan sejak 30 tahun lalu. Pasukan ini sering kalah dalam perlawanan pertama, jadi kali ini kami menamatkan badi tersebut.
“Saya harap keputusan ini meningkatkan motivasi untuk memberi cabaran pada saingan musim ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah tidak sangka anak-anak buahnya akan tewas dengan jaringan besar dan harap segala kelemahan dapat diperbaiki nanti.
“Kita rasa KL City layak dilabel antara pilihan tiga pasukan teratas musim ini selepas mendominasi permainan.
“Secara jujur, kita pun tidak sangka mengalami kekalahan yang besar, tetapi perlu terima keputusan ini. Justeru, pemain harus menggandakan usaha untuk mengharungi perlawanan seterusnya bertemu Kelantan TRW pada Selasa ini (malam esok),” katanya.