GEORGE TOWN – Pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas dekat sini yang ditahan polis malam Sabtu lalu selepas disyaki mengibar bendera Jalur Gemilang secara terbalik telah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pemilik kedai berusia 59 tahun itu dibebaskan kira-kira 3 petang selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis berhubung insiden berkenaan.
“Polis juga telah merekodkan keterangan lebih 10 individu berhubung kes ini. Pemilik kedai tersebut juga telah dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam,” katanya di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Pulau Pinang antara Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail yang dilantik Ketua Polis Negeri yang baharu dan Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Semalam, polis memaklumkan pemilik kedai berusia 59 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan.
Penahanan dibuat selepas pihak polis menerima 16 laporan berhubung insiden yang mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, kertas siasatan insiden tular pekerja perkakasan mengibar bendera secara terbalik sudah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini. – KOSMO! ONLINE