MADRID – Lebih 1,000 orang dipindahkan di barat laut Sepanyol semalam, ketika kebakaran hutan merebak, didorong oleh suhu terik dan angin kencang, kata pihak berkuasa.
Kira-kira 400 orang dipindahkan di dalam dan sekitar bandar Carucedo, manakala 700 lagi dari beberapa bandar berhampiran Tapak Warisan Dunia UNESCO, Las Medulas, kata pegawai tempatan.
Ketua kerajaan wilayah Castile dan Leon, Alfonso Manueco berkata, pakar mengesyaki bahawa beberapa kebakaran berpunca daripada pembakaran yang disengajakan.
“Kami akan tidak berhenti memburu pelaku serangan ini yang membahayakan nyawa dan keselamatan orang ramai serta warisan sejarah dan semula jadi kita,” tulisnya di platform X.
Unit Kecemasan Tentera Sepanyol (UME) telah mengerahkan hampir 60 askar dan 20 kenderaan ke kawasan itu.
Anggota bomba berkata, suhu terik, tahap kelembapan udara rendah dan angin kencang yang sering bertukar arah menyukarkan usaha mereka untuk memadamkan api.
Kebakaran hutan turut menjejaskan wilayah utara Galicia dan Navarre ketika Sepanyol mengalami gelombang panas yang memasuki minggu kedua, dengan suhu menghampiri 40 darjah Celsius di banyak wilayah.
Cuaca panas ekstrem dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya Khamis ini.
Pihak berkuasa perlindungan awam memberi amaran tentang risiko kebakaran tinggi hingga ekstrem di kebanyakan kawasan seluruh negara. – AFP