KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditii (KPK) menyasarkan keluasan tanaman koko di seluruh negara diperluaskan daripada 5,985 hektar kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri, Datuk Chan Foong Hin berkata, Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan merupakan inisiatif strategik oleh KPK dan Lembaga Koko Malaysia bagi merancakkan peluasan kawasan tanaman koko melalui sektor perladangan.
“Daripada 4,000 hektar tanaman koko yang mahu ditambah ini, kita adakan Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan yang berupaya meningkatkan keluasan tanaman koko sebanyak 2754 hektar di seluruh negara.
“Bermaksud kita hendak galakkan lebih banyak syarikat perladangan menceburi bidang tanaman koko ini dan kebetulan esok saya juga akan mengadakan Program Libat Urus Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah di Tawau,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) apakah langkah konkrit yang diambil kerajaan untuk merancakkan semula dan memperluaskan penanaman koko di Sabah.
Berdasarkan data tahun 2024, purata harga biji koko kering telah meningkat sebanyak 141 peratus kepada RM24,274 satu tan metrik berbanding RM10,073 pada tahun sebelum dan permintaan terhadap koko berkualiti tinggi terus mencatatkan peningkatan.
Sementara itu, Foong Hin berkata, KPK menjenamakan dan mempromosikan produk premium koko tempatan sebagai koko asal tunggal dan koko berperisa unik.
Menurutnya, pelbagai bantuan diberi KPK bersama Lembaga Koko Malaysia dalam usaha untuk membantu petani kekal mengusahakan tanaman koko secara ‘case-by-case’
Jelas beliau, antara bantuan itu adalah baja untuk peningkatan kesuburan dan memperbaiki struktur tanah serta racun perosak dan penyakit.
“Saya amat galakkan sesiapa yang berminat untuk tanam koko sila berjumpa dengan Lembaga Koko Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE