PUTRAJAYA – Individu yang melakukan gangguan, penghinaan atau perbuatan membuli termasuk dalam talian kini berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Perkara itu termaktub dalam pindaan Kanun Keseksaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] yang diperkenalkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan yang telah mendapat perkenan Diraja pada 25 Februari lalu dan diwartakan pada 7 Mac itu akan berkuat kuasa pada tarikh ditetapkan Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.
“Ia memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang turut meliputi kesalahan menyalahgunakan maklumat identiti serta situasi yang mendorong mangsa cuba membunuh diri atau meninggal dunia akibat provokasi.
“Rakyat perlu meneliti serta mematuhi undang-undang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata, orang ramai digalakkan mendapatkan maklumat daripada BHEUU atau Jabatan Bantuan Guaman yang menyediakan khidmat penerangan secara percuma sekiranya timbul kekeliruan.
Pada masa sama, beliau menyeru kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi mengemas kini pengetahuan warga kerja mengenai perkembangan undang-undang serta memastikan dasar dalaman selaras dengan pindaan itu.
“Perlu diingat, kejahilan berkenaan undang-undang bukan sebuah alasan di sisi undang-undang.
“Kefahaman jelas terhadap hak dan tanggungjawab adalah langkah pertama membina masyarakat selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE