GUA MUSANG – Nahas yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini hari ini dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki kesemua mangsa terbabas sebelum bertembung sebuah treler.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, penumpang kereta jenis Honda Civic EK, Muhammad Faiz Nor Amran, 32, dua anaknya, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, termasuk adik kepada Muhammad Faiz, Nor Aina Imra Nor Amran, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri Muhammad Faiz iaitu Tuan Norsyuhada Mohd. Zain, 23, yang merupakan pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu Tuan Norsyuhada sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala Kuala Krai.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.
Choon Foo memberitahu, kesemua mangsa yang maut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE