TUMPAT – Kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan dan memberi kebenaran kepada pihak polis untuk merobohkan sebanyak 128 pangkalan haram di Sungai Golok terutamanya di kawasan Pengkalan Kubor di sini dan Rantau Panjang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah menerima surat kebenaran untuk meroboh kesemua pangkalan haram di kawasan sepanjang 45 kilometer itu secara berperingkat.
Menurutnya, sehubungan itu, kerja-kerja merobohkan pangkalan haram itu berkemungkinan akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Kerja-kerja merobohkan jeti yang ada sejak sebelum Perang Dunia itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan dan rentas sempadan berterusan.
“Kos untuk merobohkan satu pangkalan haram yang diperbuat daripada bahan konkrit itu menelan belanja antara RM1,500 hingga RM5,000,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya mendapati masih terdapat kegiatan rentas sempadan yang dilakukan secara haram selepas penguatkuasaan ketat di kawasan Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.
Menurutnya, setakat ini, polis mengesan masih ada 20 peratus kemasukan individu ke negara ini yang melalui pangkalan haram. – KOSMO! ONLINE