fbpx
AZEEM (dua dari kiri) dan Danish (dua dari kanan) bergambar di atas podium penyerahan hadiah bagi acara 100m Terbuka India semalam. - JAD_ADRIANWJ / OLAHRAGA MALAYSIA

Kejayaan Azeem, Danish petanda positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejayaan berganda jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee di Terbuka India 2025 bukan sekadar menambah koleksi pingat, malah menjadi petanda positif buat skuad olahraga negara.

Dalam aksi final 100 meter (m) di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, semalam, Azeem, 21, menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan 10.35 saat (s), sama seperti masa direkodkan di Kejohanan Universiti Dunia (WUG) di Jerman bulan lalu.

Danish, 20, turut menunjukkan potensi besarnya apabila mempamerkan peningkatan prestasi dengan merekodkan catatan 10.50s untuk menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia dalam acara 100m itu.

Ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menyifatkan pencapaian itu membuktikan konsistensi Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan 10.09s meskipun kejohanan tersebut bukanlah medan kemuncaknya tahun ini.

“Catatan di India menunjukkan Azeem mampu mengekalkan prestasi, malah konsisten dengan apa yang dilakukan di WUG. Pesaing di Odisha (Bhubaneswar) juga bukan calang-calang, ada atlet terbaik India dan beberapa negara lain,” katanya.

Dalam masa sama, Manshahar turut melihat penyertaan Danish sebagai langkah penting memberi pendedahan antarabangsa, apatah lagi dia berjaya berada di podium dalam kejohanan kompetitif.

“Kita kini mempunyai dua pelari pecut yang mampu memberi saingan di pentas Asia. Azeem mengekalkan momentumnya, manakala Danish membuktikan potensi besar yang ada padanya,” jelasnya.

Kejayaan di India menjadi suntikan moral sebelum kedua-dua pelari itu kembali menyambung latihan menghadapi siri kejohanan seterusnya termasuk temasya besar yang menjadi sasaran utama seperti Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI