KUALA LUMPUR – Pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan kekal merendah diri biarpun menoktahkan gelaran keseluruhan 190cc MiniGP Malaysia selepas beraksi cemerlang pada Pusingan 4 di Litar LYL, Cheras, Selangor semalam.
Anak muda dari Terengganu itu mengakui, kejayaan menjuarai gelaran domestik belum cukup untuk meletakkannya sebagai ‘raja’ sebenar dalam sukan tersebut.
Sebaliknya, Qabil menganggap kemenangan di pentas lebih besar seperti Siri Dunia MiniGP di Valencia hujung tahun ini sebagai ukuran sebenar kemampuannya.
“Kalau saya dianggap raja MiniGP Malaysia, saya mahu buktikan di Siri Dunia di Valencia. Hanya jika saya menang di sana, barulah layak digelar raja.
“Sebabnya kita belum bertemu pelumba yang benar-benar laju di luar negara,” kata Qabil yang mengumpul 200 mata untuk bergelar juara keseluruhan meskipun perlumbaan masih berbaki satu pusingan.
Qabil mengesahkan gelaran keseluruhan lebih awal selepas mempamerkan prestasi konsisten dengan melakar lapan kemenangan sepanjang empat pusingan musim ini.
Di Litar LYL semalam, pelumba berusia 13 tahun itu menutup kempen dengan bergaya apabila mendominasi dua kemenangan berturut-turut sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pelumba remaja paling menyerlah ketika ini.
Menjelang Siri Dunia di Valencia, Qabil yang pernah menjuarai gelaran dunia 2016 bagi kelas 160cc di Litar Ricardo Tormo, mahu memberi tumpuan terhadap persediaan fizikal dan mental supaya berada pada tahap bersedia sepenuhnya.
“Saya akan melakukan persiapan terbaik di Valencia kerana ini kali kedua saya bersaing dalam kategori 190cc. Saya harap mampu mengekalkan aksi terbaik,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE