PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan satu ‘task force’ (pasukan) daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara berkata, pasukan itu terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota.
Katanya, penubuhan pasukan itu merupakan sebahagian komitmen PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.
“PDRM menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional dan mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan buli.
Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menggesa siasatan yang telus, adil dan saksama terhadap kematian anak perempuannya.
Pada Sabtu lalu, mayat Zara Qairina digali semula dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan dikebumikan semula pada keesokkan harinya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang. – KOSMO! ONLINE