SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri SIS sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Disember ini.
Tanda indeks NPI yang membawa maksud Sultan Idris Shah, Sultan Selangor kesembilan itu juga bersempena sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda tahun depan.
Menerusi Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, Kementerian Pengangkutan menerusi JPJ akan menawarkan bidaan kepada orang awam secara dalam talian melalui sistem JPJeBid.
Menurut kenyataan itu, bidaan akan dibuka bermula 15 hingga 19 Ogos ini manakala keputusan pada keesokan harinya.
“Kaedah penawaran tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui sistem JPJeBid.
“Harga bidaan adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan oleh JPJ,” katanya malam ini.
Tambahnya, sebahagian hasil jualan NPI itu akan disalurkan ke sebuah yayasan di bawah naungan Sultan Selangor yang akan digunakan bagi aktiviti kebajikan termasuk biasiswa dan dana kecemasan kepada golongan memerlukan seperti tragedi bencana alam. – KOSMO! ONLINE