MEMILIKI naskhah mantap dengan plot menarik dan latar indah, filem-filem tanah air hakikatnya mampu bersaing di arena antarabangsa, sekali gus berpotensi meraih pengiktirafan global.
Pengasas dan Presiden Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest), Joanne Goh, berkata, penerbit tempatan seharusnya mempunyai keyakinan untuk menghantar pencalonan atau bertanding dalam festival filem luar negara.
“Saya yakin Malaysia memiliki ramai pembikin filem berbakat besar bersama karya penuh penceritaan serta sarat mesej yang menyentuh hati penonton.
“Sudah tentu potensi filem buatan Malaysia besar selain mempunyai peluang sama rata seperti naskhah garapan pembikin luar jika disertakan elemen istimewa dari segi penceritaan dan penjiwaan karakter.
“Jadi saya berharap pada edisi MIFFest akan datang, kita dapat melihat lebih banyak filem tempatan dihantar untuk bertanding supaya bakat kita diiktiraf dan diketengahkan di mata dunia,” katanya.
Menurut Joanne, penganjuran MIFFest yang sudah memasuki tahun kelapan menerima hampir 700 penyertaan dari seluruh dunia termasuk Asia Tenggara.
“Sebenarnya penyertaan tahun ini sangat banyak. Kami terima sekitar 700 filem dari seluruh dunia. Proses penilaian kami bermula dengan juri saringan awal, semi-final dan akhir sekali juri utama.
“Bagi kriteria pencalonan, kami beri fokus kepada pembikin dan bakat baharu yang menampilkan idea segar dan kategori bukan pertandingan pula tiada masalah kerana tahun ini kami meraikan ulang tahun kelapan festival serta menampilkan 65 filem antarabangsa dan tempatan.
“Bagi kategori pertandingan pula, kami tetapkan syarat filem mesti daripada pengarah baharu. Filem arahan pengarah yang sudah terkenal seperti filem lakonan Michelle Yeoh contohnya, tidak layak untuk kategori ini. Namun, kami tetap hargai penyertaan mereka menerusi kategori khas atau tayangan istimewa,” ujarnya.
Menurut Joanne, kerjasama di peringkat antarabangsa terus diperkukuhkan dengan menampilkan Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) Ke-25 sebagai sebahagian daripada MIFFest 2025.
“Tahun ini, kami turut bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) membabitkan 17 negara EU.
“Saya bangga kerana untuk edisi Kali ini kami dapat bekerjasama dengan 10 negara Asia bagi segmen Asean On Screen dan menayangkan enam filem.
“Segmen ini memperlihatkan perkembangan MIFFest sebagai hub penting dalam rangkaian sinema Asia Tenggara, menjalin perkongsian antara industri filem seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam dengan Malaysia sebagai tuan rumah strategik.
“Kami juga berbangga kerana juri terdiri daripada tokoh hebat seperti Reza Rahadian dari Indonesia, Jennifer Yu dari Hong Kong, dan wakil Malaysia seperti Diana Danielle.
“Ada pemerhati yang datang dari jauh termasuk London untuk memeriahkan festival kali ini,” katanya pada Malaysia Golden Global Awards (MGGA) kelapan yang meraikan pembikin filem sejagat di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis penganugerahan bersempena MIFFest itu turut menyaksikan filem Palestin, All That’s Left of You, mengungguli dua kategori utama iaitu Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.
Karya arahan Cherien Dabis tersebut mengangkat kisah pasangan Palestin yang berdepan dilema hidup di tengah konflik, menggabungkan latar politik dan kisah kekeluargaan secara mendalam dan menyentuh hati.
Turut mencuri perhatian adalah Red Path dari Tunisia bagi Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Harapan Baharu.
Sementara itu, bintang filem Indonesia, Reza Rahadian menerima Anugerah Kecemerlangan dalam Pencapaian Perfileman.
Penggiat filem asal Kanada, Isabelle Stachtchenko meraih anugerah Sinematografi Terbaik melalui Universal Language, manakala Island To Island arahan Lau Kek Huat menang naskhah pilihan penonton.
Dalam kategori lakonan, Mahmood Bakri Chatila dari Palestin unggul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi To A Land Unknown, diikuti Park Mi-Hyeon (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Han HaoLin dari China (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik).
Sebuah lagi filem bertemakan Asia Barat, iaitu Red Path membawa pulang trofi Pengarah Terbaik menerusi Lotfi Achour selain trofi Anugerah Harapan Baharu.
Achour, sutradara muda dari Tunisia itu menampilkan pendekatan artistik menggabungkan teater dan sinema yang menyelami tema trauma dan ingatan secara puitis, menyerlahkan sudut pandangnya yang unik dalam dunia sinema kontemporari.
Dalam kategori lakonan, Mahmood Bakri merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem To a Land Unknown, manakala Juli Grabenhenrich diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui Paternal Leave.
Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menjadi milik Han Haolin bagi watak dalam My Friend An Delie, manakala Park Mi-Hyeon membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Winter in Sokcho.
MGGA8 turut mengiktiraf ikon perfileman dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada bintang legenda Hong Kong, Thomas Tam atas sumbangan terhadap sinema Asia selama berdekad.
Filem Palestin, All That’s Left of You, mengungguli dua kategori utama iaitu Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.