SUNGAI PETANI – “Ibu ada luahkan dia terlalu merindui arwah ayah dan harap dapat bertemu dengannya di syurga nanti.”
Demikian kata Ibrahim Khairul Anuar, 25, anak kepada pemandu Perodua Viva, Fazilah Omar, 52, yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Kupang, Baling dekat sini semalam.
Menurutnya, sehari sebelum kejadian, ibunya sempat melawat dia dan abang, Mohd Azim, 26, yang belajar di Madrasah Penanti Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Ibu bawa makanan dan kami bertiga makan dalam suasana ceria sambil ibu menceritakan kesunyiannya selepas arwah ayah pergi sejak 14 tahun lalu.
“Dia luah rindukan arwah ayah dan berharap dapat bertemu di syurga nanti, selain beritahu menyayangi kami dua beradik,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kariah Pulau Sepom di Tikam Batu, di sini petang tadi.
Sementara itu, seorang rakan sepengajian Fazilah yang mahu dikenali sebagai Salbiah berkata, sejak kebelakangan ini Allahyarham sering bercakap tentang mati setiap kali kami berjumpa di majlis agama.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pemandu Perodua Viva maut di lokasi kejadian selepas kereta yang dia pandu bertembung dengan Perodua Myvi di Jalan Kupang, Kampung Rambong pada petang semalam.
Sementara rakannya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di Hospital Baling. – KOSMO! ONLINE