KUALA LUMPUR – Bayaran kepada Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir dan imam bukan merupakan gaji tetap, sebaliknya merupakan bantuan berbentuk elaun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, seramai 34,284 guru KAFA sedang berkhidmat di seluruh negara ketika ini dengan elaun RM1,100 sebulan.
Kata beliau, guru takmir pula seramai 47,052 orang dengan bayaran dibuat mengikut jumlah kelas pengajaran iaitu RM100 bagi setiap kelas, manakala elaun bulanan imam RM850 sebulan.
“Kerajaan mengambil maklum peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700. Bagaimanapun, perlu dijelaskan bayaran kepada guru takmir, guru KAFA dan imam bukan merupakan gaji tetap, sebaliknya merupakan bantuan berbentuk elaun.
“Kerajaan sentiasa meneliti dan membuat penilaian terhadap keperluan menaikkan kadar elaun guru takmir, guru KAFA dan imam berdasarkan kemampuan kewangan semasa negara,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) sama ada kerajaan bercadang untuk melaksanakan kenaikan elaun guru takmir kepada RM1,200 sebulan.
Menjawab soalan tambahan, Zulkifli berkata, kerajaan tidak bercadang menyediakan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk guru takmir.
Menurut beliau, caruman KWSP hanya boleh dikenakan jika individu itu memenuhi takrifan pekerja mengikut Akta KWSP 1991. – KOSMO! ONLINE