KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus secara rasmi menerajui Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini.
Fadil menggantikan Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad yang memangku jawatan itu sejak 18 Julai lalu.
Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu dimulakan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Mohamed Usuf dan Fadil dengan disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa.
Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kuala Lumpur daripada Datin Ain Robieah Shamshudin kepada Datin Nurashidah Ishak.
Rusdi dalam ucapannya berharap Fadil dapat memikul tanggungjawab dan meneruskan agenda memacu prestasi kontinjen Kuala Lumpur ke tahap lebih baik.
“Ini bukan sekadar jawatan, tetapi tanggungjawab yang akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.
“Saya percaya beliau akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik, melaksanakan amanah dengan berprinsip, serta memastikan pasukan Polis KL sentiasa berada pada tahap profesionalisme yang tinggi,” katanya. KOSMO! ONLINE