MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim berdepan situasi yang memeningkan untuk membuat pilihan terbaik bagi memulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini.
Berdasarkan penilaian yang dibuat sepanjang kempen pramusim, Amorim dapat melihat kemahuan pemain, malah kemasukan pemain baharu juga menjadikan The Red Devils kini seakan sudah lengkap.
Selepas melengkapkan pramusim dengan kemenangan 5-4 ke atas Fiorentina menerusi penalti, penyokong United juga turut dibuai impian dengan kehadiran bintang baharu, Benjamin Sesko.
Amorim menjelaskan perlawanan dengan Fiorentina adalah satu perlawanan persiapan paling sempurna sebelum mengalihkan fokus kepada Liga Perdana Inggeris apabila The Red Devils akan melayan kunjungan Arsenal di Old Trafford.
“Kesukaran untuk membuat pilihan adalah perkara yang bagus dan ia sepatutnya berlaku. Ini adalah perkara normal dan saya perlu fikirkan, malah pemain juga perlu bersaing untuk mendapatkan tempat mereka.
“Saya memiliki idea, tetapi sudah pasti pemain boleh ubah apa yang saya fikirkan. Kami akan aturkan sesi latihan penuh bagi menyediakan strategi terbaik, namun apa pun, kami bersedia untuk memulakan saingan,” katanya.
Dalam masa sama, Amorim menjelaskan pasukannya sedia menyerlahkan aksi lebih baik pada aksi pembukaan menentang Arsenal dan keutamaannya sekarang adalah memiiki skuad yang lebih seimbang. – AGENSI