fbpx
Syafri bersama peguamnya selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Duda terlepas tali gantung, dipenjara 8 tahun dan 10 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang duda tiga anak mendapat peluang kedua apabila terlepas tali gantung selepas dua pertuduhan mengedar dadah dihadapinya dipinda kepada memiliki dadah.

Tertuduh, Syafri Hamzah, 45, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Julia Ibrahim.

Hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 25 April 2020.

Keputusan dibuat selepas Jabatan Peguam Negara meminda pertuduhan daripada 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kepada Seksyen 12 (2) akta sama setelah menerima representasi dihantar pihak pembelaan pada 5 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan pilihan pertama, Syafri didakwa telah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 312.6 gram (g) di sebuah rumah di Bandar Rinching Seksyen 5, Semenyih kira-kira pukul 1 tengah hari, 25 April 2020.

Bekas pemandu lori itu juga didakwa memiliki Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 1,401.6 g di sebuah unit kondominium di Balakong pada pukul 3 petang, pada tarikh dan tahun yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Peguam Daniel Savarimuthu dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya telah menyesal dan insaf untuk terlibat dalam mana-mana kes jenayah termasuk dadah selepas direman lebih lima tahun sejak 25 April 2020.

“Anak guam saya mempunyai tiga anak dan telah bercerai dengan isterinya sejak 2011. Sejak tarikh ditangkap, dia tidak berpeluang memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya.

“Dia bersedia menerima hukuman dan berhasrat untuk berubah serta memohon diberikan peluang kedua agar dapat mencari rezeki halal untuk menampung hidup selepas ini bersama tiga anaknya.

“Justeru, mohon penjara singkat dari tarikh ditangkap dan berjalan serentak serta hukumansebatan yang minima,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon hukuman berat susulan kesalahan tertuduh terlalu serius kerana melibatkan pemilikan dadah yang merupakan musuh utama negara.

Jelasnya, apa sahaja kesulitan dihadapi tertuduh adalah hukuman akibat perbuatannya sendiri yang tidak memikirkan kesan sebelum melakukan jenayah.

“Hukuman dijatuhi mahkamah mencerminkan keseriusan dan pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai amnya.

“Justeru, hukuman berbentuk deterrent (pencegahan) adalah wajar kerana melibatkan dadah dengan melibatkan berat dadah itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI