fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: KPM tidak akan sesekali lindungi pembuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan sesekali melindungi sesiapa yang melakukan perbuatan buli di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, tindakan tegas malah akan diambil mengikut garis panduan sedia ada.

Ujar beliau, pendirian itu adalah terpakai kepada semua kes termasuk insiden kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

“Sebagaimana kita tahu, isu ini (kes kematian Zara Qairina) dalam siasatan pihak polis. KPM serahkan kepada polis untuk buat siasatan. KPM tidak berkompromi terhadap mana-mana isu berkaitan buli. Kita tidak akan dan tidak pernah cuba melindungi sesiapa.

“KPM sedia bekerjasama dengan pihak polis khususnya dalam memberi bantuan bagi siasatan yang sedang dijalankan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung peningkatan kes buli di sekolah termasuk kes Allahyarham Zara.

Mohd. Shafie berharap pihak berkuasa tidak melindungi mana-mana pihak terlibat walau siapa pun mereka dan mencadangkan penggunaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekolah.

Beliau turut menyarankan Jawatankuasa Disiplin di peringkat sekolah tidak diberi kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru, sebaliknya dipegang badan bebas.

Menjawab soalan asal Mohd. Shafie, Kah Woh berkata, kerajaan meluluskan 389 projek pembangunan semula sekolah mempunyai bangunan daif di Sabah dengan kos RM6.077 bilion dari tahun 2016 sehingga Ogos 2025.

“Status pelaksanaan projek terkini adalah 233 projek telah siap, 64 projek fasa pembinaan, 92 projek pada fasa prabina,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI