SEREMBAN – Seorang broker tanah dilanjutkan reman selama tiga hari lagi kerana disyaki telah menggunakan suatu dokumen iaitu geran yang disyaki mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah yang berjumlah kira-kira RM3.8 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli ke atas suspek berusia lingkungan 40-an itu bermula esok selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Seremban pagi tadi.
Menurut sumber, suspek sebelum ini telah pun ditahan reman sejak 5 Ogos lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki telah menggunakan suatu dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu geran di Mukim Lenggeng daerah Seremban atas nama seorang individu lain bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah tersebut yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.8 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE