PETALING JAYA – Berat badan terkawal, tidur cukup dan gaya hidup aktif merupakan antara faktor utama untuk kekal sihat walaupun usia semakin meningkat, menurut perkongsian terbaru Public Health Malaysia (PHM).
Dalam hantaran yang tular baru-baru ini, PHM menekankan kepentingan beberapa amalan asas, namun konsisten bagi mengekalkan kesihatan menyeluruh khususnya apabila mencecah usia emas.
Antara yang disenaraikan termasuklah tidak merokok, melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, menjaga ketahanan mental, serta memastikan rutin tidur dan rehat yang mencukupi.
Dalam hantaran sama, PHM turut menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai contoh yang kerana masih kelihatan bertenaga dan sihat walaupun sudah berusia 78 tahun hasil disiplin dan gaya hidup sihat yang diamalkannya sejak sekian lama.
“Selalu tengok PMX bersenam. Pergi luar negara pun rajin ‘brisk walk’. Senaman ringan atau ‘brisk walk’ sudah cukup untuk tingkatkan tenaga harian. Ringkasnya, bila badan bergerak, muka pun ikut berseri,” katanya.
PHM menggesa orang ramai agar tidak menunggu sehingga jatuh sakit untuk berubah, sebaliknya memulakan langkah penjagaan diri seawal mungkin demi kesihatan jangka panjang. – KOSMO! ONLINE