fbpx
Aaron Ago semasa sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Minggu Harmoni Mesra 2025 di UCSI Universiti, Cheras, hari ini.

Bendera terbalik, perlu mendidik bukan menghukum – Aaron Ago

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Insiden Jalur Gemilang digantung terbalik yang mencetuskan ketegangan baru-baru ini disifatkan sebagai berpunca daripada kurangnya pemahaman individu terbabit mengenai penggunaan bendera negara dengan betul.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kejadian tersebut tidak wajar diperbesarkan kerana ia berkemungkinan besar dilakukan tanpa niat jahat.

“Saya rasa ini kejadian kecil. Kita perlu lihat puncanya. Orang yang menggantung bendera itu mungkin tidak faham tentang kedudukan yang betul. Takkan mereka sengaja nak buat macam tu.

“Salah tetap salah. Jalur Gemilang perlu dihormati, tapi kita juga perlu ambil pendekatan untuk mendidik bukan terus menghukum,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Minggu Harmoni Mesra 2025 di UCSI Universiti, disini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan rasa kesal dan menekankan pentingnya rakyat lebih peka terhadap simbol negara.

“Ini lambang kedaulatan negara. Bila terjadi seperti ini,ia mengganggu sensitiviti rakyat pelbagai kaum. Kita jangan cepat melatah, beri peluang untuk faham dulu,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan isu ini sebagai bahan politik atau menambah ketegangan.

“Saya tahu ramai yang marah dan rasa terganggu, tetapi jangan jadikan isu ini untuk mencetuskan pergaduhan. Jalur Gemilang lambang penyatuan, bukan perpecahan,” katanya.

Tambahnya, insiden itu harus dijadikan peringatan kepada semua pihak agar lebih teliti dan mendalami makna sebenar bendera kebangsaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI