KUALA TERENGGANU – Bekas bendahari Kesatuan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) cawangan Terengganu didenda RM10,000 atas dua kesalahan mengemukakan dokumen palsu.
Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh, Jafri Wahab, 59, yang juga pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuat pengakuan bersalah sebaik dua pertuduhan tersebut dibacakan.
Beliau memerintah hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar masing-masing terhadap kedua-dua pertuduhan terbabit.
Berdasarkan pertuduhan, Jafri didakwa menggunakan dokumen palsu berupa penyata akaun milik Anulae Cawangan Terengganu bagi tahun 2019 dan 2020 untuk kegunaan peribadi.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat MBKT di sini pada 28 Jun 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Asaari Salleh.
Kosmo! Online 25 Ogos 2024 melaporkan Jafri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah dan memalsukan dokumen kesatuan sekerja itu melibatkan amaun RM29,200. – KOSMO! ONLINE