BALING – “Arwah kakak suka bersedekah dan sering berpesan kepada kami agar banyakkan sedekah dengan niatkannya untuk arwah ibu dan ayah.”
Demikian kata Mohd. Kamarul Lizan Md. Saad, 53, adik kepada Allahyarham Siti Maznah, 61, yang maut akibat kemalangan di Jalan Kupang, Kampung Rabong, di sini semalam.
Arwah menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Baling, di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
Menurut Mohd Kamarul Lizan, arwah kakaknya tinggal di sebuah pondok pengajian Islam di Sik, dekat sini serta menjadi penyelia di situ dan akan berkunjung ke rumahnya serta adik beradik lain setiap kali bercuti.
“Arwah ada bercuti dua minggu sebelum ini dan dia banyak habiskan masa berjumpa keluarga dan kawan-kawannya serta memasak untuk keluarga.
“Namun begitu, arwah nampak lain sedikit apabila agak diam berbanding banyak bercakap sebelum ini. Khamis lepas, saya ada tanya bila dia nak balik lagi tetapi kakak jawab mungkin lambat lagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Baling, hari ini.
Katanya, dia sangat terasa dengan kehilangan itu kerana arwah sangat mengambil berat tentang adik beradik lain serta tidak berkira soal kewangan.
“Arwah juga sentiasa menasihatkan anak-anak saudaranya supaya sentiasa menjaga solat,” jelasnya.
Jenazah Allahyarham Siti Maznah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di Ipoh, Perak selepas selesai proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE