fbpx
Dibesarkan dalam keluarga petani, Siew JIn yang merupakan pelajar UPMS percaya dia boleh mengubah nasib keluarga menerusi pendidikan dalam bidang yang dekat dengan keluarganya.

Anak petani Sibu terima biasiswa Yang di-Pertuan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN menyara keluarga dengan hasil bertani, kedua-dua ibu bapa Tiew Siew Jin amat mengutamakan pendidikan kepada anak-anak mereka.

Melihat perjuangan ibu bapanya yang berpenat lelah bekerja sebagai petani bagi membolehkan anak-anak mendapat pendidikan telah membuatkan Siew Jin, 26, tekad untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi bagi membanggakan keluarganya.

Kini, dia sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Sains Bioteknologi Makanan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) di Bintulu, Sarawak.

Lebih membanggakan, dia turut terpilih menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) bagi tahun 2025. BYDPA merupakan program biasiswa berprestij yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang.

Media baru-baru ini melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan BYDPA 2025 kepada 13 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara termasuk Siew Jin yang merupakan anak petani dari Sibu, Sarawak.

Siew Jin berkata, tiada apa yang dapat diungkap selain rasa kegembiraan kerana dianugerahkan biasiswa tersebut.

Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka akan mendapat biasiswa tersebut kerana dirinya tidak menaruh sebarang harapan dan tahu ia sesuatu yang agak sukar untuk diperoleh.

“Saya hanya cuba memohon biasiswa ini setelah pihak universiti memberitahu ada bantuan kewangan yang boleh dimohon.

“Kejayaan mendapat biasiswa ini juga membanggakan keluarga saya dan mereka yang banyak menyokong saya selama ini.

“Penganugerahan biasiswa ini menjadi satu pemangkin semangat untuk saya terus komited dalam bidang penyelidikan dan kemudian menyumbang kembali kepada negara melalui ilmu dan kepakaran yang saya miliki,” katanya kepada K-Kampus.

SULTAN Ibrahim berkenan mengurniakan biasiswa BYDPA2025 kepada Siew Jin di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, anugerah itu bukan sekadar biasiswa, tetapi satu tanggungjawab besar yang harus dipikulnya.

Bahkan, baginya setiap ilmu yang kita semua pelajari adalah satu amanah.

“Tanggungjawab kita sebagai manusia bukan sekadar belajar tinggi dan meraih sebanyak mungkin ilmu. Tetapi, kita juga perlu menggunakan ilmu yang kita pelajari itu untuk memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

KONGSI Siew Jin, untuk mendapatkan biasiswa tersebut bukanlah sesuatu yang mudah dan dia perlu melalui sesi tapisan terlebih dahulu sebelum dipanggil untuk sesi temu duga.

Dengan masa persediaan kurang dua minggu untuk sesi temu duga, dia perlu mengatur penerbangan dari Sarawak ke Kuala Lumpur serta menyediakan semua keperluan dalam tempoh yang singkat.

Namun, berbekalkan kejujuran dan keyakinan diri, dia berjaya meyakinkan panel penilai yang terdiri daripada dua profesor dalam bidang berkaitan pengajian Siew Jin dan seorang wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Dalam sesi temu duga ini soalan yang ditanya lebih berfokuskan tentang bidang pengajian yang saya ambil.

“Mereka mahu sumbangan yang akan saya berikan kepada negara setelah habis pengajian kelak,” jelasnya.

Sebulan selepas sesi temu duga dia akhirnya mengetahui terpilih sebagai salah seorang dianugerahkan biasiswa tersebut.

Siew Jin dijemput ke Istana Negara untuk menerima biasiswa itu daripada Sultan Ibrahim.

Siew Jin bersama keluarganya semasa konvokesyen bagi pengajian ijazah sarjana muda tahun lalu.

Dibesarkan sebagai anak petani, Siew Jin berkata, ibu bapanya yang hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga dan lima menyara keluarga melalui penanaman sayur dan penternakan ayam secara kecil-kecilan.

Sejak kecil, Siew Jin telah terbiasa membantu di kebun dan berniaga hasil tani di pasar pagi.

Baginya, pengalaman inilah yang membentuk jati dirinya dan menyemai rasa tanggungjawab terhadap pendidikan.

“Mereka hasilkan makanan untuk orang lain, tapi pulangannya tidak menentu.

“Dari situ saya mula berfikir apakah jalan penyelesaiannya dan pendidikan adalah cara untuk mengubahnya dan membantu orang lain yang terlibat dalam bidang itu.

“Oleh, itu saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang yang dekat dengan diri dan keluarga saya.

‘Saya belajar dalam bidang sains dan saya percaya sains ada jawapannya dan sebab itulah saya memilih untuk belajar dalam bidang ini,” jelasnya yang kini masih membantu ibu bapanya menjual di pasar tani jika ada kelapangan.

Sebelum ini, Siew Jin mengambil pengajian diploma dalam bidang pengurusan perladangan makanan dan kemudian menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang sains bioindustri di UPMS.

Siew Jin juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerja dalam industri terlebih dahulu selepas tamat pengajian kelak sebelum menyambung ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Dalam pada itu, ketika ini dia juga sedang melakukan kajian penyelidikannya yang memfokuskan kepada sagu.

Sagu adalah tanaman tempatan Sarawak yang kaya dengan kanji dan dia sedang menjalankan kajian klinikal bagi menilai sifat prebiotik dalam formulasi makanan berasaskan kanji sagu.

“Bagi saya, sagu ini adalah satu tanaman yang unik dan hidup di kawasan tanah gambut yang ramai rasa tempat itu tidak produktif.

“Tetapi sagu merupakan satu hasil tanaman yang berpotensi dan hasil kajian saya mendapati sagu ini mempunyai sifat yang baik untuk kesihatan usus.

“Sagu ini berpotensi untuk menjadi satu sumber inovatif yang mampu menyumbang kepada kesihatan awam,” katanya.

Tambahnya, dari sudut ekonomi ia boleh memperkukuh industri sagu tempatan, khususnya di Sarawak sebagai pengeluar utama sagu negara.

Ketika ditanya tentang cita-citanya, Siew Jin berkata, dia memasang impian untuk menjadi seorang penyelidik bioteknologi.

Menurutnya, penyelidik bertanggungjawab untuk mencari sesuatu benda atau inovasi yang baharu.

“Apabila kita berkemampuan untuk mencipta sesuatu yang baharu yang bermanfaat kepada orang ramai, ia adalah sesuatu yang hebat.
“Saya menceburi bidang bioteknologi makanan dan saya mempunyai cita-cita untuk mencipta sesuatu penyelesaian inovatif dalam industri makanan tempatan.

“Saya juga berharap dapat membantu masyarakat dengan menghasilkan sesuatu yang sihat terutamanya melalui pemakanan,” jelasnya.

Siew Jin menitipkan pesan kepada pelajar di luar sana untuk sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Jangan bandingkan permulaan kita dengan orang lain.

“Rezeki itu daripada Tuhan, tetapi usaha adalah tanggungjawab kita.

“Kalau kita dah usaha sungguh-sungguh, kejayaan pasti akan menanti kita,” katanya.

Mengulas tentang dirinya, Siew Jin berkata, dia sebenarnya adalah seorang yang introvert.

“Meskipun introvert saya seorang yang percaya dan jujur dengan diri sendiri.

“Mungkin disebabkan karakter ini yang membuatkan panel temu duga biasiswa tertarik dengan saya kerana saya cuba membawa versi terbaik diri saya dengan hati yang jujur dan ikhlas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN