KOTA BHARU – Anak Orang Asli pertama di Kelantan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendaftar di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Nur Syafienaz Nazri, 18, berkata, dia memilih bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) kerana minatnya yang mendalam terhadap Bahasa Inggeris sejak kecil selain berazam untuk menjadi guru bahasa itu suatu hari nanti.
Menurutnya, meskipun dia kurang mendapat pendedahan mengenai bahasa tersebut sejak kecil, namun dia mula berusaha menguasai subjek itu semasa di tingkatan empat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat mencapai impian sejak kecil lagi dan bercita-cita untuk mengajar anak-anak Orang Asli memahami Bahasa Inggeris dengan lebih mendalam,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi pendaftaran kemasukan pelajar baharu di IPG Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Narita Mohd. Noor berkata, seramai 529 pelajar baharu dari seluruh negara mendaftar di IPG Kampus Kota Bharu hari ini bagi mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP).
Katanya, kemasukan kali ini merupakan kali pertama pihaknya menerima pelajar Orang Asli cemerlang untuk mengikuti program tersebut di kampus berkenaan. – KOSMO! ONLINE