CINCINNATI – Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz terpaksa bekerja keras sebelum bangkit mencatat kemenangan 6-1, 2-6, 6-3 ke atas Damir Dzumhur dalam perlawanan pembukaan di Terbuka Cincinnati pagi tadi.
Pilihan kedua kejohanan tersebut mempamerkan aksi garang pada set pertama tetapi hilang rentak sepenuhnya pada set kedua apabila servisnya dipatahkan dua kali oleh pemain Bosnia berusia 33 tahun itu.
Namun, Alcaraz kembali mengawal permainan di set ketiga, meraih mata kemenangan untuk mara ke pusingan ketiga
Ia adalah kemenangan ke-12 berturut-turut Alcaraz dalam kejohanan Masters 1000 selepas menjuarai Monte Carlo dan Rom.
“Ia satu kelegaan dapat mencapai kemenangan. Perlawanan ini ibarat roller coaster kerana ada saat baik dan buruk,” kata Alcaraz.
Naib juara Cincinnati 2023 itu akan berdepan wakil Serbia, Hamad Medjedovic pada pusingan ketiga selepas lawan tersebut menundukkan Tallon Griekspoor 6-4, 7-6 (7/3).
Sementara itu, juara Masters 1000 Toronto, Ben Shelton mara selepas lawannya dari Argentina, Camilo Ugo Carabelli menarik diri akibat kecederaan lutut kanan ketika ketinggalan 3-6, 1-3.
Pemain pilihan keenam, Alex de Minaur pula tersingkir mengejut apabila tewas 6-7 (8/6), 4-6 kepada Reilly Opelka
Dalam acara wanita, juara Terbuka Perancis 2024 dan pilihan kedua, Coco Gauff mengatasi permulaan hambar sebelum menundukkan Wang Xinyu dari China 6-3, 6-2.
Pemain pilihan ketiga, Jessica Pegula menewaskan Kimberly Birrell 6-4, 6-3, manakala pilihan ketujuh, Jasmine Paolini memerlukan enam mata penamat sebelum menyingkirkan Maria Sakkari 7-6 (7/2), 7-6 (7/5). – AGENSI