PETALING JAYA – Selepas 23 hari Allahyarham Zara Qairina Mahathir dikebumikan, jenazah remaja tersebut dikatakan tidak busuk selain wajahnya seolah-olah baru sahaja meninggal dunia.
Keadaan tersebut dikongsikan pengguna Facebook, Shahrizal Mohd Shom yang melihat kubur Allahyarham digali semula malam tadi bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan proses penggalian semula kubur bermula pukul 5.30 petang dan jenazah dibawa keluar dua jam kemudian sebagai usaha melengkapkan siasatan berhubung kematian kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu.
Menurut Shahrizal, dia juga mendakwa, terhidu bau harum ketika berada di kawasan kubur Allahyarham.
“Tidak ada bau busuk. Jenazah masih utuh, wajahnya seperti macam semalam (meninggal dunia) dan terhidu bau harum.
“Allah SWT menjaga tubuhmu lebih daripada kami semua memperjuangkan namamu, dik. Seperti jenazahmu bersedia untuk diangkat semula demi kebenaran menjelma,” katanya dalam satu hantaran Facebook malam tadi.
Terdahulu, proses bedah siasat terhadap Allahyarhamah Zara Qairina telah bermula kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Turut hadir ibu Zara, Noraidah Lamat yang tiba sekitar jam 8.30 pagi.
Sementara itu, Peguam Hamid Ismail berkata, proses berkenaan akan diketuai oleh pakar patologi Dr. Jessie Hiu.
Zara Qairina sebelum ini dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut, Papar, pada 16 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE