PETALING JAYA – “Disebabkan pihak polis telah menangkap dan apek yang kibar bendera Malaysia terbalik ini akan didakwa esok, maka kami memberikan ruang seluasnya pada pihak pendakwa untuk menjalankan proses undang-undang.”
Demikian perkongsian terkini Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung pertemuannya bersama beberapa individu terlibat yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang, esok.
Dr. Muhamad Akmal menerusi hantaran di Facebooknya mengumumkan penangguhan sementara kelas mengajar individu yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik selepas pihak polis menahan suspek berkenaan.
Menurutnya, penangguhan itu dibuat sebagai menghormati proses undang-undang yang akan berlangsung, memandangkan suspek berkenaan akan didakwa di mahkamah esok.
“Saya baru dapat kenyataan media daripada Ketua Polis Pulau Pinang yang menyatakan bahawa individu atau apek yang yang kibarkan bendera secara terbalik telah ditangkap dan akan didakwa esok.
“Jadi disebabkan apek tu esok akan didakwa maka untuk kelas kita nak mengajar dia pasang bendera pun akan ditangguhkan sementara.
“Namun, jika ada pihak lain yang berani mencabar selepas ini, kami sedia turun untuk mengajar sekali lagi,” katanya.
Dr. Muhamad Akmal menegaskan bahawa pihaknya mendesak pendakwa raya dan mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat, tanpa mengira bangsa atau latar belakang.
Katanya, individu berkenaan sedang disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Namun, beliau berpendapat hukuman sedia ada terlalu ringan dan menggesa undang-undang baharu digubal dengan menetapkan hukuman lebih berat, termasuk penjara sehingga 10 tahun.
“Kalau hanya denda RM1,000 atau RM100, orang akan pandang sebelah mata. Hukuman mesti lebih berat supaya tiada sesiapa berani menghina kedaulatan negara kita,” tegasnya.
Dr. Muhamad Akmal turut memaklumkan bahawa Pemuda UMNO akan memantau rapat perkembangan kes ini menerusi pasukan peguam mereka bagi memastikan tertuduh dikenakan tindakan sewajarnya.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan suspek lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai mengibarkan bendera Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di hadapan sebuah kedai perkakasan rumah di Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok dengan cadangan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, ujar beliau, pihak polis setakat ini turut menerima 16 laporan berhubung insiden itu iaitu 12 laporan di negeri ini dan empat lagi di kontinjen luar Pulau Pinang.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan, Dr. Muhamad Akmal menegur secara keras tindakan pihak tertentu yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik dan berjanji akan bersemuka dengan individu terlibat pada esok bagi mengatasi isu tersebut.
Menurut jemputan yang dihantar sekretariat media sayap parti itu, himpunan yang diberi nama ‘Himpunan Maruah Tanah Airku’ itu akan diadakan di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas pada pukul 12 tengah hari. – KOSMO! ONLINE