fbpx
GAMBAR 13 Ogos lalu menunjukkan gelagar penyokong dan kumpulan sorak di Stadium Koshien. – AFP

Sekolah Jepun tarik diri kejohanan besbol, akur tangani kes buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO –  Sebuah sekolah menengah Jepun yang dikaitkan dengan kes buli bertindak menarik diri daripada kejohanan besbol musim panas kebangsaan yang sangat popular, kata beberapa pegawai hari ini.

Kejohanan sekolah menengah ‘Koshien’ selama dua minggu itu ditonton oleh berjuta-juta orang di kaca  televisyen setiap tahun dan telah melancarkan kerjaya ramai pemain terkemuka Jepun.

Bintang Los Angeles Dodgers, Shohei Ohtani dan pemain pitcher San Diego Padres, Yu Darvish, kedua-dua mereka menempa nama dalam kejohanan itu yang berlangsung di Stadium Koshien dekat  bandar Osaka, barat Jepun.

Kemarahan terhadap dakwaan buli awal tahun ini melibatkan pasukan besbol Sekolah Tinggi Koryo di wilayah Hiroshima,  mencetuskan gesaan di media sosial agar mereka menarik diri.

“Kami memutuskan untuk menarik diri, dan akan segera melakukan rombakan kaedah pendidikan kami,”  kata pengetua sekolah berkenaan, Masakazu Hori kepada pemberita.

Dilaporkan,  ini adalah kali pertama sebuah sekolah menarik diri di tengah-tengah kejohanan disebabkan skandal berkaitan keganasan pemain.

Penganjur bersama kejohanan Koshien, Persekutuan Besbol Sekolah Tinggi Jepun menyifatkan keputusan Sekolah Tinggi Koryo sebagai ‘amat dikesali’  dan berjanji akan meneruskan usaha untuk ‘membasmi keganasan, buli dan hubungan hierarki yang tidak rasional’.

Sekolah Tinggi Koryo pada Rabu lepas berkata,  siasatan dalaman mendapati seorang pelajar tahun pertama pasukan besbol telah diserang oleh empat rakan seniornya di asrama mereka pada Januari 2025.

Tindakan keganasan termasuk menolak dada dan menampar mukanya, dengan mangsa kemudian dipindahkan ke sekolah lain pada Mac lalu selepas permohonan maaf oleh penyerangnya, kata pihak sekolah.

Sekolah Tinggi Koryo melaporkan serangan itu kepada persekutuan besbol, diberi teguran pada Mac lepas tetapi tidak mengumumkan insiden buli itu kepada umum.

Namun,  satu catatan penuh emosi di media sosial yang memperincikan kes itu menjadi tular awal bulan ini, mencetuskan kemarahan orang awam terhadap sekolah tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI