KUALA LUMPUR – Pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori 190cc FIM MiniGP Malaysia 2025 selepas mengekalkan rekod sempurna dengan lapan kemenangan berturut-turut musim ini.
Aksi memukau pelumba Terengganu berusia 13 tahun itu sekali lagi terserlah apabila beliau menamatkan Pusingan 4 di Litar Karting Antarabangsa LYL hari ini dengan menyapu bersih kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan, sekali gus mengumpul 200 mata penuh dan menamatkan saingan lebih awal walaupun musim masih berbaki satu pusingan.
Kejayaan tersebut turut memastikan Qabil layak secara automatik untuk mewakili Malaysia ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2025 yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol hujung tahun ini.
“Musim ini amat istimewa kerana saya berjaya mengekalkan prestasi konsisten sejak perlumbaan pertama. Gelaran ini adalah hasil usaha berterusan pasukan, keluarga, penaja, dan semua yang sentiasa menyokong saya.
“Apapun, saya akan terus bekerja keras terutama menjelang persiapan ke Valencia memandangkan cabaran di sana pasti lebih sengit. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras,” kata Qabil yang menjuarai kategori sama pada musim 2024.

Kemenangan tersebut menambah koleksi kejuaraan keenam buat Qabil yang sebelum ini pernah meraih gelaran 160cc pada 2022 dan 2023, selain menjuarai SIC Ohvale Junior Championship 110cc pada 2020 dan 2021.
Perebutan dua lagi tiket ke Valencia bagi kategori 190cc akan ditentukan pada pusingan terakhir di RUD Karting Sepang pada 11-12 Oktober 2025, dengan Qayim Razin (124 mata), Adam Aiman (123 mata) dan Malek Ridha (112 mata) masih berpeluang melayakkan diri.
Dalam saingan RCB Minimoto, pelumba cilik Selangor berusia 9 tahun, Fayyad Anaqi mengesahkan gelaran keseluruhan selepas mengumpul 135 mata, walaupun hanya menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga.
Fayyad yang bakal beraksi di kategori 110cc musim depan bertekad menutup musim dengan dua kemenangan di Sepang, sambil mengakui sukar mencipta kemenangan kali ini kerana bermula di petak kesembilan pada Perlumbaan 1.
“Saya gembira sebab berjaya menamatkan perlumbaan hari ini di kedudukan podium tempat ketiga. Semestinya saya mahu mencipta kemenangan di sini tetapi sukar bermula di petak 9.
“Apapun, saya sangat gembira kerana mengesahkan kemenangan lebih awal dan penting sebab saya akan beraksi kategori 110cc tahun depan,” ujarnya pelumba Selangor tersebut.
Sementara itu, persaingan kejuaraan kategori FIM MiniGP 160cc kini berada pada kemuncak apabila hanya dua mata memisahkan dua pencabar utama, Al-Adam Mikail dan Qasha Irfan Azlan, menjelang pusingan terakhir di RUD Karting Sepang pada 11-12 Oktober depan.
Al-Adam yang merupakan juara SIC Ohvale Junior 2024, kini mengumpul 158 mata selepas menjuarai Perlumbaan 2 di sekali gus merapatkan jurang dan meletakkan dirinya di landasan terbaik untuk memburu gelaran.
Qasha pula menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 156 mata selepas terjatuh dalam Perlumbaan 1 namun bangkit bangkit semula dalam Perlumbaan 2 meskipun berdepan masalah kerosakan brek.
“Saya tampil agresif di awal perlumbaan, tetapi kerosakan brek pada penghujung saingan merencatkan usaha saya. Saya terpaksa menggunakan brek depan sepenuhnya dan hampir melanggar pelumba hadapan. Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan perlumbaan dan akan bangkit di Sepang,” ujar Qasha. -KOSMO! ONLINE