PETALING JAYA – Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Persekutuan Russia mencatatkan kejayaan strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Menerusi kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada pertemuan rasmi bersama Seri Paduka Baginda di Kremlin, Presiden Vladimir Putin menyifatkan hubungan antara Moscow dan Kuala Lumpur berada pada tahap yang baik dengan komunikasi berterusan antara pelbagai agensi kerajaan.
“Malah, Presiden Putin turut memuji peranan Malaysia dalam Kumpulan Pembangunan Strategik Rusia-Dunia Islam yang disifatkan sebagai kerjasama berkesan dan platform persefahaman bersama antara Rusia dan negara-negara Islam,” kata kenyataan itu.
Selain Moscow, Seri Paduka Baginda turut melawat Kazan sempena lawatan tersebut, dengan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama antara Malaysia dan Republik Tatarstan dalam bidang petrokimia, inovasi, kewangan Islam dan sektor halal.
“Pada hari ini (10 Ogos), Seri Paduka Baginda berangkat pulang selepas mengakhiri Lawatan Negara ke Persekutuan Russia sejak Selasa lalu (5 Ogos).
Terdahulu, Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov mengiringi Seri Paduka Baginda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan.
Istana Negara dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Seri Paduka melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Russia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada 1967. – KOSMO! ONLINE