LONDON – Polis London menahan 466 orang semalam kerana menyokong Palestine Action pada protes terbaru dan terbesar bagi menyokong kumpulan pro-Palestin itu sejak kerajaan mengharamkannya bulan lalu di bawah undang-undang anti-keganasan.
Polis Metropolitan berkata, tangkapan tersebut adalah antara yang terbesar pada sesuatu protes di London.
“Mereka ditahan kerana menyokong organisasi terlarang,” kata polis.
Polis turut menahan lapan orang kerana kesalahan lain termasuk lima yang didakwa menyerang anggotanya.
Kumpulan penunjuk perasaan mula berkumpul berhampiran Parlimen pada waktu makan tengah hari sambil membawa sepanduk tertera slogan bermaksud ‘perangi genosid, sokong Palestine Action’ serta mengibarkan bendera Palestin.
Ahli psikoterapi Craig Bell, 39, adalah antara mereka yang membawa sepanduk menyokong Palestin. Baginya, larangan itu ‘sama sekali tidak masuk akal’.
“Apabila anda membandingkan Palestine Action dengan kumpulan pengganas sebenar yang membunuh orang awam, adalah satu jenaka mereka dilabel sebagai kumpulan pengganas,” katanya kepada AFP.
Kerajaan Britain mengharamkan Palestine Action awal bulan lalu, beberapa hari selepas kumpulan itu mengaku bertanggungjawab berhubung pencerobohan di pangkalan tentera udara di selatan England yang menyebabkan anggaran kerosakan £7 juta (RM39.9 juta) kepada dua pesawat.
Kumpulan itu berkata, aktivis-aktivisnya bertindak balas terhadap sokongan ketenteraan tidak langsung Britain kepada Israel di tengah-tengah perang Gaza.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri Britain mengulangi kenyataan bahawa Palestine Action juga disyaki melakukan ‘serangan serius’ lain melibatkan ‘keganasan, kecederaan signifikan dan kerosakan jenayah yang meluas’.
Bagaimanapun, pengkritik-pengkritik termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan seperti Amnesty International serta Greenpeace mengutuk langkah itu sebagai tindakan undang-undang berlebihan dan ancaman kepada kebebasan bersuara. – AFP