SEBERANG PERAI – Penghuni di sebuah kediaman di Taman Century, Bukit Mertajam di sini sempat berlari keluar dalam keadaan cemas ketika kebakaran berlaku di ruang dapur rumah mereka, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 10.54 pagi tadi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam diketuai oleh Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Azmi Zakaria.
“Kebakaran melibatkan sebuah unit rumah teres dua tingkat kelas A dengan anggaran peratusan kebakaran di bahagian dapur adalah sebanyak 50 peratus.
“Pasukan bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran. Operasi pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Komander Operasi lapor penghuni berjaya keluar dari rumah semasa kejadian berlaku. Kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 11.19 pagi tadi dan dipadamkan sepenuhnya kurang 15 minit kemudian,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain telahpun dijalankan dan operasi ditamatkan pada pukul 12.32 tengah hari tadi.
“Kes kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa. -KOSMO! ONLINE