KUALA NERUS – Harapan tinggi disandarkan kepada skuad berbasikal remaja kebangsaan ke Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia di Apeldoorn, Belanda dari 20 hingga 24 Ogos ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, barisan pelapis negara yang dibimbing jurulatih berpengalaman kini giat menjalani latihan intensif dalam tempoh dua minggu sebelum kejohanan bermula.
“Kita optimis mampu bersaing dengan pelumba pelapis handalan dunia lain dalam kejohanan berkenaan.
“Bukan sekadar mengambil bahagian, tetapi benar-benar mencipta sejarah dan mencabar podium kali ini,” katanya selepas melepaskan peserta Jelajah Kayuhan Solidariti ASEAN 2025 di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Tambahnya, empat pelumba muda menjadi sandaran memburu pingat iaitu Sawda Hasbullah, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak, Luqman Haqim Ali Badrun dan Yu Jing Liang.
Sawda sebelum ini mencipta kejutan meraih dua pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional Nilai, Februari lalu.
Dalam pada itu, lebih 4,000 peserta memeriahkan program Jelajah Berbasikal ASEAN Solidariti 2025 anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertujuan memperkasa hubungan serantau di bawah payung Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menerusi sukan dan aktiviti rekreasi.
“Kejohanan ini menampilkan kayuhan sejauh 30 kilometer mengelilingi bandar raya Kuala Terengganu yang dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana negeri ini sering mendominasi acara berbasikal serta melahirkan ramai atlet cemerlang, ” katanya. – KOSMO! ONLINE